Selasa, 4 Ogos 2009

Cabaran & Kepuasan


Ini antara koleksi tanaman di laman yang aku usahakan... ada pokok hijau, berbunga & berair...


Peringkat awal aku bejinak-jinak dengan kerjaya tukang kebun ni, banyak juga cabaran & masalah. kalau dalam 10 anak pokok yang aku beli, biasanya separuh tak hidup lama. ada yang mati kering, ada jugak yang mati sebab basah. Maklumlah tak faham sangat tentang sukatan air yang betul untuk pokok-pokok ni. Ada suka tanah yang lembab, ada yang tak suka... macam orang jugak...

Tapi, lama-kelamaan aku mula memahami sedikit demi sedikit tentang habitat dan keperluan mereka. Ada yang perlu cahaya, ada yang perlu suasana redup, ada yang perlu basah & berair, ada yang perlu kering sepanjang masa... Bila kita mula faham tentang pokok-pokok yang kita tanam, tentang keperluan air, baja, cahaya, tanah, rawatan kulat & penyakit, pokok-pokok ni pun dapat membesar dengan sempurna & ada yang berbunga. masa tu barulah timbul perasaan puas dalam diri kita. macam petani yang mengusahakan sawah, perasaan puas timbul bila tiba musim menuai. Tak jauh beza dengan konsep menjaga & membesarkan anak. Kalau kita didik dari kecil dengan bimbingan yang elok, didikan agama yang sempurna, diberi makan/ pakai yang cukup & dari sumber/rezeki yang halal, insyaallah anak-anak kita dapat membesar dengan sempurna & berjaya dalam hidup. Masa tu barulah terbit perasaan puas dalam hati & jiwa kita... Insyaallah kalau ada rezeki umur & kesihatan yang panjang.
*Nak senang, beli je pokok bunga yang memang dah berbunga... tapi kuranglah sikit rasa kepuasan bercucuk tanam tu.... Macam Nelayan yang pergi beli ikan kat pasar atau Petani yang beli beras kat kedai runcit...

Isnin, 27 Julai 2009

Belajar...


Inilah rumah yang aku 'jumpa' semasa meronda-ronda bersama isteri tersayang. Memang tujuan kami meronda masa tu untuk mencari rumah.Kami bertiga dan bakal berempat tak lama lagi. Ikut kemampuan semasa, kami cuma mampu beli pangsapuri biasa atau paling hebat pun teres kos sederhana je.. Tapi disebabkan aku ni ada hobi dan keinginan yang tinggi untuk memiliki landskap dan laman, aku cari jugak rumah teres yang ada tanah walaupun sekangkang kera je... Alhamdulillah.. berjaya jugak aku miliki rumah ini setelah hampir enam bulan gambar ini ditangkap...







Dua bulan selepas memiliki rumah ni, kami dah berempat...


Masa terus berlalu....... sedikit demi sedikit perubahan aku cuba lakukan supaya rumah yang kami duduki ini menjadi tempat paling selamat, aman dan tenteram untuk kami berempat... Walaupun pada pandangan mata orang lain rumah kami ni biasa saje, yang penting aku cuba juga jadikan rumah kami ni syurga kami sekeluarga.


Ini sentuhan awal ketika aku mula berjinak-jinak untuk memahami & menyaingi kerjaya tukang kebun & pereka landskap. pengalaman memang kosong, tapi disebabkan minat yang mendalam aku cuba dari bawah. Aku belajar... ikut buku pasal taman & landskap, tanya makcik-makcik atau apek-apek di nursery.. Diorang memang tak kedekut ilmu. Banyak aku belajar cara-cara menanam & menjaga pokok.... Untuk peringkat awal, aku cuma banyak menanam pokok-pokok bunga yang biasa je.


Tapi yang bagusnya aku bukan keseorangan... Sebab ada pembantu-pembantu yang sering menemani aku kerana mereka berkongsi minat yang sama... apa nak buat...;)



Inilah pembantu-pembantu khas aku apabila aktiviti berkebun dijalankan... (Didikan awal supaya 'pembantu-pembantu' aku ni dapat membesar sebagai aktivis alam sekitar yang cintakan kehijauan, kebersihan dan keindahan alam semulajadi)...



Alhamdulillah...

Assalamualaikum...

Inspirasi-alam aku wujudkan sebagai luahan kesyukuran yang aku panjatkan kepada Yang Maha Pencipta, Allah s.w.t... Alhamdulillah... atas pemberianMu untuk segalanya. Akal yang waras, hati yang tenang, jiwa & jasad yang sentiasa diserapkan dengan ujian-ujianMu yang pastinya membuat aku mengenali dan memahami diri serta segala kejadian dengan lebih mendalam. Memahami, betapa setiap mahluk & kejadian yang Engkau turunkan bukan sekadar untuk tatapan, bukan tempelan, bukan untuk diendahkan & bukan disia-siakan... hakikatnya, Itulah inspirasi... Inspirasi alam kejadian ciptaanMu yang sewajarnya dinikmati, dihayati, difahami, dinilai, dimanfaat serta di syukuri...

Sesungguhnya tiada yang menakjubkan selain membiarkan segenap pancaindera menikmati segala kejadian yang Engkau turunkan di muka bumi ini, buat segala mahlukMu saling menemani antara mereka.

Blog ini sengaja aku terjemahkan sebagai paparan untuk luahan rasa dan minat aku yang sedikit condong kepada elemen-elemen alam semulajadi yang ada di sekeliling... dari senibina, landskap indah, laman yang tenang, pohon nan menghijau, batu-batuan sungai, burung berkicauan, kocakan air di kolam, dedaunan kering berguguran... semuanya memberi inspirasi untuk aku menikmati kehidupan dengan lebih sempurna, selesa dan damai bersama keluarga tersayang... Impian aku, untuk terjemahkan segalanya dalam kehidupan aku yang sebenar... insyaAllah

Aku amat bersyukur dengan apa yang aku miliki sekarang...
Alhamdulillah...